Wednesday, May 15, 2019

PERANAN AL-QURAN SEBAGAI SUMBER ILMU PENGETAHUAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN SAINS

No comments:
PERANAN AL-QURAN SEBAGAI SUMBER ILMU PENGETAHUAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN SAINS 

Sumber utama bagi umat Islam adalah Al-Quran. Al-Quran merupakan wahyu yang lengkap dan terakhir kepada Rasulullah s.a.w bagi seluruh umat manusia di dunia supaya tunduk dan akur kepada Tuhan yang Maha Esa. Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t melalui perantaraan malaikat adalah membolehkan manusia menjalani kehidupan berlandaskan wahyu Allah s.w.t tanpa melakukan kebinasaan di dunia dan menjamin kebahagiaan hidup di akhirat. 

Kita memerihalkan tentang himpunan ayat-ayat al-Quran yang membincangkan tentang kesepaduan ilmu wahyu dan aqal. Turut dibincangkan aspek hubungan ilmu sains dan al-Quran yang menjadikan Al-Quran sebati dalam kehidupan mereka. 

Kita mendapati al- Quran merupakan penggerak dan pencetus serta pendorong terawal umat Islam agar memperkembangkan ilmu budaya Islam dalam pelbagai bidang. Ia juga berperanan dalam memotivasikan umat Islam agar berusaha meneroka dan membongkarkan berbagai lapangan keilmuan yang merangkumi ilmu berteraskan akal, sains tabii dan sains sosial.

Al-Quran Sebagai Sumber Ilmu Pengetahuan


Al-Quran merupakan sumber primer tamadun Islam serta evolusi pembentukan sains Islam, di sekitar seratus tahun pertama hijrah yang mana mempunyai hubungan erat dengan epistemologi pengajian Islam. Al-Quran dan as-Sunnah adalah yang sarat dan padat sebagai sumber rujukan. Ia menganjur serta mendorong umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis dan menggunakan akal semaksimum mungkin untuk manfaatnya .

Al-Quran juga merupakan sumber intelektual dan spiritual Islam. Ia merupakan asas bukan hanya bagi agama dan pengetahuan spiritual tetapi bagi semua ilmu pengetahuan. Ia merupakan sumber utama inspirasi pandangan muslim tentang kesepaduan sains dan pengetahuan intelektual

Al-Quran merupakan kitab yang perlu dipercayai, diyakini dan diimani sepenuhnya sebagaimana yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Kepentingan al- Quran dari sudut sains ialah dalam memberi panduan asas, khususnya dalam konteks kaedah. 

Sememangnya sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Walaubagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. 

Ia adalah wahyu Allah s.w.t. Al-Quran mengajak manusia supaya berfikir, mengkaji dan meneliti setiap ciptaan-Nya. Sebagaimana dalam firman-Nya dalam Surah al-Imran, 3:191 yang berikut maksudnya: 



(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah s.w.t semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Al-Quran terus mengajak manusia menggunakan akal fikiran dan mata hati. Al-Quran juga menggesa manusia berfikir, merenung dan mengambil iktibar daripada semua kejadian alam. Renungan yang mendalam akan membawa insan ke arah kesimpulan bahawa alam semesta ini dicipta oleh Allah s.w.t. Orang-orang yang berfikir itu dikenali sebagai Ulul Albab di dalam al-Quran merupakan manusia yang berjaya mengambil pengajaran daripada al-Quran serta dapat mengambil pengajaran dari alam semesta dan segala penciptaan Allah s.w.t dengan akal dan hati yang bijaksana.

Dalam al-Quran menggunakan perkataan, “Apakah kamu tidak berfikir”? “Apakah kamu tidak melihat”? “Apakah kamu tidak mendengar”? Sebagaimana dalam firman-Nya dalam Surah al-Ghasiah, 88:17-20 yang berikut maksudnya:



Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat? Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

Pengaruh dari kajian al-Quran telah meletakkan para ahli sains Islam dan ilmu mereka di dalam lingkungan ketuhanan atau kerohanian. Ini mendorong mereka untuk mendalami bidang tersebut. Suatu perkara yang amat penting ialah betapa ahli-ahli sains Islam mempunyai pegangan dan meletakkan hanya Allah s.w.t sahajalah yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Oleh itu setiap penyelidikan yang dijalankan dan segala pengetahuan baru yang diperolehi itu akan membawa mereka lebih dekat kepada Pencipta-Nya.

Al-Quran juga adalah kitab Allah s.w.t yang menjelaskan setiap sesuatu ilmu kepada manusia. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Yusof 12:111 yang berikut maksudnya:

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran bukanlah cerita-cerita yang diada- adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang mahu beriman.

Usaha untuk meneliti, mencerap dan mengkaji tabii alam merupakan tugas utama umat Islam sebagaimana yang terungkap dalam banyak-banyak ayat al-Quran seperti Surah Ali-Imran 3: 190-191, Surah Faatir 35 : 11, 27, 28, Surah Al-Hajj 22 : 5,
Surah al-Mukminum 23: 12-16, Surah As-Sajadah 32: 7-9 dan Surah Yaasin 36: 38-
40. Ayat-ayat ini adalah sebahagian dari penegasan al-Quran bagaimana ilmu sains dan teknologi amat penting sekali dipelajari.

Darwis Hude et al. (2002) dan Salleh Ismail (2010) menjelaskan al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w telah memberi keutamaan serta menitikberatkan soal pembacaan dan pembelajaran. Di dalam al-Quran memperkenalkan kepada dunia, kunci segala ilmu yang boleh membawa manusia menguasai kemajuan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Al-Quran juga merupakan sumber peradaban yang mengandungi prinsip-prinsip dasar ilmu pengetahuan dan peradaban.

Menurut salah seorang sarjana muslim sebagai pengkaji al-Qur‟an Al- Tabataba‟i (1984), beratus-ratus ayat al-Qur‟an memaparkan kedudukan ilmu yang tinggi dan peranan ilmu pengetahuan dalam kehidupan insan serta setiap individu muslim agar mencari, mengkaji, mengumpul dan memanfaatkan ilmu pengetahuan. Salleh Ismail (2010) menyatakan al-Quran adalah sumber segala ilmu yang mesti digali khazanahnya. Ia juga sebagai panduan kepada umat manusia sepanjang zaman. Untuk mencapai matlamat hidup yang sejahtera Allah s.w.t telah memperkenalkan kepada manusia petunjuk yang hakiki seperti dalam firman-Nya di dalam surah Ar- Rahman ayat 3 hingga 4 yang berbunyi maksudnya:

Dia telah menjadikan manusia serta Dialah yang mengajar mereka berhubung dengan semua keterangan tentang semua perkara yang ada itu dengan jelas .

(Abdullah Basmeih 2001)


Selain itu Al-Zandani (1992) dan Zawawi (1996) telah menghuraikan beberapa contoh kebenaran al-Quran yang disokong oleh penemuan sains antaranya perpisahan antara bumi dan langit, air adalah asas kehidupan, lautan yang mempunyai dua ombak, proses kejadian manusia, kedudukan bintang dan sebagainya. Menurut Salleh Ismail (2010), apabila membaca dan mengkaji ayat-ayat kauniyah yang terdapat di dalam al-Quran, mendapati ayat-ayat tersebut telah menerangkan banyak perkara dan mencakupi semua bidang penemuan manusia di hari ini. Daripada penemuan-penemuan ini ia dapat merasakan betapa agungnya dan betapa Allah s.w.t itu yang Maha Bijaksana dalam mencipta alam ini dan kandungan yang ada di dalamnya itu. Ini menujukkan al-Quran telah mendahului pengetahuan manusia sejak dari mula ia diturunkan kepada Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu.

Mohd.Yusof (2009) menyatakan di dalam al-Quran juga terdapat banyak hujah yang tidak bersifat saintifik, yang boleh diterangkan secara mantik dan sistematik. Cerita-cerita dalam al-Quran seperti cerita Nabi Ibrahim a.s yang dicampak ke dalam api yang membara tetapi tidak terbakar, kisah Nabi Musa a.s membelah Laut Merah dengan mencampakkan tongkatnya ketika diserang oleh Firaun dengan tenteranya, kisah Nabi Isa a.s yang menghidupkan orang yang telah mati, semua cerita ini kebenarannya tidak dapat dihujah secara saintifik. Tetapi semua cerita ini terdapat dalam al-Quran tetapi tidak bersifat saintifik. Peristiwa yang berlaku adalah kehendak Allah s.w.t untuk memberikan iktibar dan pengajaran kepada orang yang beriman, yang mempunyai sistem kepercayaan yang tinggi kepada Allah
s.w.t.  Dengan  kata  lain  Allah  s.w.t  boleh  sahaja  menjadi  sebarang  apa  yang dikehendaki-Nya walaupun akal manusia tidak mampu memikirkannya, dan Allah
s.w.t tidak perlu menggunakan pendekatan rasional dan logik sebagaimana difahami oleh manusia.

Terdapat banyak lagi contoh-contoh ayat-ayat al-Quran yang memerihalkan tentang sains sebagaimana yang disenaraikan oleh Salleh (2008) antaranya:

1.               11 ayat mengenai kimia
2.               24 ayat mengenai sains pemakanan.
3.               25 ayat mengenai asal usul kejadian manusia dan makhluk.
4.               27 ayat mengenai sains sosial.
5.               41 ayat mengenai kejuurteraan.
6.               60 ayat mengenai bumi.
7.               69 ayat mengenai ransangan membuat kajian.
8.               73 ayat mengenai Matematik.
9.               90 ayat mengenai pertanian.
10.            113 ayat mengenai astronomi.
11.            140 ayat mengenai geografi.
12.            144 ayat mengenai fizik.
13.            271 ayat mengenai perubatan.
14.            283 ayat mengenai biologi.

Pengkaji juga menyenaraikan beberapa contoh ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan sains tabii yang menyentuh berkaitan disiplin-disiplin kajihayat, astronomi, perubatan, geologi, ilmu bumi, ilmu laut, ilmu angkasa lepas dan sebagainya. Ayat-ayatnya adalah seperti dalam Surah Fussilat: ayat 53 hingga 54, Surah Az-Zariyat : 20-21, Surah Al-Tariq: 5 hingga 7, Surah Ar-Rahman: 1-13, Surah


Al-Insan: 1-3, Surah Al-An‟am : 97-98, Surah An-Nur : 43-44, Surah An-Nahl: 4-14, Surah Al-Ghasiah:17-26, Surah Al-Baqarah: 164, Surah Ar-Rum: 20-27, Surah al- Hajj: 18 dan lain-lain lagi. Manakala contoh ayat-ayat al-Quran berkaitan dengan sains kemasyarakatan yang menyentuh berkaitan dengan aspek sosiologi, antropologi, psikologi, ekonomi, sains politik, geografi, sejarah dan lain-lain adalah seperti berikut; Surah Yusuf : 109 -111, Surah al-Hajj : 45-46, Surah Ar-Rum : 7-11, 50,
Surah Fussilat: 54, Surah Al-Mulk: 2, Surah  al-A‟raf: 96, Surah Ibrahim: 7, Surah
An-Nur: 55, Surah al-Kahfi: 32-42 dan lain-lain lagi.

Secara kesimpulannya ayat-ayat tersebut mengarahkan manusia untuk memerhati, merenung dan memikirkan segala kejadian alam semesta agar menyedari bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta dan Maha Berkuasa. Kejayaan saintis-saintis Islam pada masa dahulu adalah kerana rangsangan daripada ayat-ayat al-Quran yang menyuruh kepada penerokaan dan menguasai ilmu sains. Seharusnya guru-guru Pendidikan Islam juga perlu mengambil iktibar dan meneroka ilmu sains yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran supaya dapat diintegrasikan dalam pengajaran Pendidikan Islam.

Syed Hossein Nasr (1984) telah menegaskan bahawa sumber pemangkin ketamadunan Islam terdiri daripada:

1.     Kekuatan   ajaran   Islam   yang   bersumberkan   al-Quran   dan   al-Sunnah   nabi Muhammad s.a. w.
2.     Tamadun-tamadun yang membangun sejajar dengan perkembangan Islam tetapi tidak bercanggah dengan prinsip- prinsip Islam.
3.     Sifat keterbukaan yang wujud dalam budaya ketamadunan dan keilmuan.

Kesimpulannya al-Quran merupakan penggerak dan pencetus serta pendorong terawal umat Islam agar memperkembangkan ilmu budaya Islam dalam pelbagai bidang. Ia juga berperanan dalam memotivasikan umat Islam agar berusaha meneroka dan membongkarkan berbagai lapangan keilmuan yang merangkumi ilmu berteraskan akal, sains tabii dan sains sosial yang pada peringkat awal perkembangannya adalah melalui terjemahan karya-karya asing ke dalam  bahasa Arab. Selain itu juga, disiplin keilmuan Islam sebenarnya telah mengadakan suatu sintesis terpenting dalam sejarah peradaban insan. Melalui kajian-kajian yang disertakan dengan kefahaman yang berasaskan keterangan-keterangan ayat-ayat al- Quran ia akan membuka minda dan akan menambahkan lagi keyakinan seseorang kepada Allah s.w.t.

Hubungan Ilmu Sains dan Al-Quran


Konsep integrasi ilmu dalam kajian ini membincangkan tentang ilmu sains dan al- Quran. Apabila memperkatakan tentang agama dan sains dapat disentuh bahawa pengetahuan sains boleh memperkukuhkan ilmu fardhu ain seseorang itu, iaitu pengenalan terhadap Tuhan yang mana boleh mempertingkatkan iman seseorang. Akan tetapi beriman juga bererti beramal melalui ilmu fardhu kifayah seperti kejuruteraan, perubatan, kimia, fizik, geologi dan sebagainya berlandaskan ilmu sains. Oleh yang demikian sains penting dalam konteks kedua-dua tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah sejak zaman kegemilangan Islam lebih 1000 tahun lalu mahupun kini (Azizan Baharuddin 2007).


Sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan.Walau bagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. Ia adalah wahyu Allah s.w.t. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Manakala sains ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia (Mohd. Yusof 2011; Mat Rofa Ismail 2012). Sains dan al-Quran adalah sebahagian daripada epistemologi yang secara khusus mengkaji teori ilmu dan hakikat kebenaran ilmu (science) secara ilmiah berdasarkan kepada petunjuk al-Quran itu sendiri. Di samping itu sains dan al-Quran juga memperkuat dan menjelaskan sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk kepada kepada hadis nabi, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam (Yahaya Jusoh & Azhar Muhammad 2007).

Begitu juga pandangan Mohd. Nakhaie Ahmad (2010) dan Sulaiman Nordin (2013) menyatakan perhubungan sains dan agama dipandang sebagai perhubungan roh dan jasad. Sains dan agama saling menyempurnakan di antara satu sama lain, kedua-duanya memang tidak boleh dipisahkan. Alam tabii perlu difahami, dikaji dan manusia mendapat manfaat daripadanya. Sebagaimana dalam firman Allah s.w.t., Surah Al-Ghasiah, 88:17, Surah  Yasin, 36:68 dan  Surah Al-An‟am, 6:50. Mohd Syamil (2010) menekankan bahawa al-Quran merupakan penawar bagi penyakit yang mula menyerang pemikiran manusia yang memperlihatkan bahawa sains itu tiada kaitan dengan konsep ketuhanan. Sains ini mula dipisahkan dengan roh sebenarnya iaitu nilai spiritual yang tinggi. Kini manusia sudah mempunyai petanda penyakit buta iaitu buta pada hati yang perlu disembuhkan dengan petanda-petanda yang sudah diterangkan oleh al-Quran.

Alias Azhar (2010) menyatakan secara falsafahnya sains Islam telah wujud seiring dengan penciptaan nabi Adam a.s, iaitu sebelum al-Quran diturunkan. Sumber ilmu yang utama datangnya daripada Allah s.w.t yang mengajar ilmu bacaan dan tulisan termasuk ilmu teknologi yang diajarkan kepada manusia melalui para nabi. Secara rasional Allah s.w.t telah menyampaikan ilmu dan juga kemahiran kepada Adam a.s bagi melancarkan urusan hidupnya dan zuriatnya di dunia ini. Contoh penggunaan sains dan al-Quran dapat dilihat apabila Allah s.w.t mengajar Nabi Adam
a.s semua nama benda di dunia nama benda di dunia. Sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah, 2:31 yang berikut maksudnya:

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar.
(Abdullah Basmeih 2001)

Osman Ayob (2014) juga menjelaskan tentang al-Quran dan sains ia perlu dilihat dari pelbagai sudut. Al-Quran adalah kitab suci yakni firman Allah s.w.t yang dibawa oleh malaikat lalu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Di dalam al-Quran mengandungi segala-galanya. Sains adalah salah satu sudut yang terdapat dalam al- Quran. Ramai tokoh sains dan ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibn Rusyd dan lain-lain menghayati al-Quran dan menemui ilmu sains. Tidak syak lagi, al-Quran menyerlahkan sains, mengharmonikannya bukan sahaja dalam konteks ilmu tetapi juga dalam konteks budaya dan amalan kehidupan keseluruhannya. Sains juga sebagai satu cabang ilmu dan amat penting kepada manusia dan ia berkaitan dengan


ilmu dalam al-Quran selagi mana terus digali dan diamalkan, selagi itulah sains akan terus berkembang dalam membentuk keharmonian sejagat.

Pemikiran sains Islam secara spesifiknya mengkaji hakikat kebenaran ilmu (science) secara ilmiah berdasarkan petunjuk al-Quran. Di samping itu, pendekatan ini mampu memperkuat dan menjelaskan sesuatu fakta dengan merujuk pada hadis nabi, ahli fikir Islam, saintis Islam dan bukan Islam. Sesuatu pendapat boleh diterima jika tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah (Yahaya Jusoh dan Azhar Muhammad 2010). Pendapat ini disokong oleh Alias Azhar (2010) yang menyatakan walaupun ketamadunan Islam berpaksikan peradaban keilmuan Islam dalam masa yang sama turut mengadaptasi dan mengasimilasi ilmu daripada ketamadunan asing yang tidak bercanggah dengannya. Faktor ini menjadikan tamadun Islam zaman silam mencapai zaman kegemilangannya kerana ilmuwan pada zaman tersebut menyeimbangkan pencarian ilmu duniawi dan ukhrawi. Pendek kata sains memerlukan Islam kerana tanpa Islam sebagai panduan, apa jua kemajuan dan pencapaian sains dianggap sebagai proses yang berlaku untuk menggantikan nilai dan kepercayaan kepada hal-hal yang ghaib, akan menjadikan manusia di peringkat positif, walhal dalam Islam, manusia yang maju ialah mereka yang dapat mengubah keadaan luarannya menurut nilai mutlak (Ratna Roshida 2010).

Permasalahannya sekarang ialah apabila tamadun manusia berkembang, tradisi keilmuan itu mula terpisah dua yang mengasingkan konsep ilmu duniawi dengan ukhrawi. Inilah yang dikatakan dualisme dalam sistem pendidikan. Sistem dualisme dalam pendidikan boleh dikatakan digunapakai oleh hampir kesemua negara umat Islam. Natijahnya, wujudnya dua generasi yang saling bertentangan dalam membangunkan masyarakat. Untuk melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai keseimbangan di antara duniawi dan ukhrawi, usaha-usaha perlu dilakukan untuk menjadikan sistem dualisme ini bergabung iaitu dikenali sebagai integrasi (Alias Azhar 2010; Mat Rofa Ismail 2012).

Sistem pendidikan dualisme ini menghasilkan suatu kesan yang negatif bagi umat Islam. Sistem pendidikan yang ada sekarang gagal memperlihatkan ciri integrasi (kesepaduan) dengan Islam. Saat ini bidang ilmu seperti matematik, sains dan lainnya seolah-olah terpisah dan tiada hubung kait dengan agama atau kepada keagungan pencipta alam ini iaitu Allah s.w.t. Manakala ilmu-ilmu berkaitan agama langsung tidak memasukkan hasil-hasil penemuan sains itu sebagai satu bukti keagungan Allah
s.w.t demi mengukuhkan lagi keimanan. Pendidikan bersepadu merupakan salah satu pendekatan yang perlu diambil untuk menyelesaikan isu dualisme dalam pendidikan. Ia merujuk kepada pendekatan pendidikan yang komprehensif, seimbang, dinamik, relevan dan kontemporari sebagai pendekatan yang terbaik (Noor Hisham 2009).

Penyepaduan antara ilmu sains dengan ajaran Islam amat penting untuk memastikan masa depan sains Islam dititikberatkan mengikut acuan yang sebenar. Pemikiran saintifik dijadikan sebagai asas untuk meneroka khazanah yang terkandung di dalam alam ciptaan Allah s.w.t. Ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dalam masa yang sama nilai-nilai agama itu dapat dihayati sepenuhnya untuk menjadikan manusia itu sebagai khalifah Allah s.w.t. Justeru itu, konsep agama sebagai ad-din, konsep manusia sebagai insan, konsep ilmu yang termasuk dalamnya konsep ma’rifah, konsep kebijaksanaan atau hikmah dalam proses amal, konsep keadilan, konsep alam dalam usaha untuk menabur bakti dan menjalankan tugas dan fungsi


sebagai khalifah dan konsep adab dan akhlak perlu difahami dan dihayati oleh umat manusia (Mohd.Yusof 2011; Sidek  Baba 2006).

Dari perspektif Islam, sains dan agama adalah bersifat sepadu. Ini bermakna sains tidak boleh dipisahkan daripada nilai-nilai keagamaan. Menurut Ahmad Fauzi (1997), matlamat sains dalam Islam adalah untuk:

1.               Mengenali dan mengetahui tentang Allah s.w.t.
2.               Menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.
3.               Meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
4.               Memperhambakan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t.
5.               Meningkatkan amal ibadat dari segi sumbangan sains dan teknologi untuk kebaikan makhluk Allah s.w.t sejagat.
6.               Melahirkan masyarakat yang berilmu, celik budaya dan bermaklumat.
7.               Menggunakan sumber alam secara cekap dan berkesan.
8.               Mencapai kecemerlangan hidup dan mengekalkan kemakmuran.

Matlamat ini penting untuk melahirkan generasi yang mampu melaksanakan peranan sebagai pemimpin dan berupaya berhadapan dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah disamping adanya integrasi disiplin-disiplin ilmu akal ke arah membina komuniti ummah dengan berteraskan akidah (Forum Pendidikan Bersepadu 1984).

Rujukan


Ahmad Bazli Shafie. 2012. Memartabatkan Sains melalui pemodenan Universiti al- Azhar: Iktibar daripada cubaan al-Syakh Muhammad Abduh di abad ke-20. Dlm. Azrina Sobrina (pnyt.). Membina Kekuatan Sains di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Alias  Azhar.  2010.  Faktor  pembangunan  dan  kemunduran  pengajian  sains  Islam silam. Jurnal Hadhari (3): 43-59.
al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1978a. Aims and Objectives of Islamic Education.
Jeddah: King Abdul Aziz University.
al-Tabataba‟i,  Sayyid  Muhammad  Hussein.  1984.  al-Quran  fi  al-Islam.  Tehran:
MarkazIlam al-Dhikra al-Khamisah Li Intisar al-Thawrat al-Islamiah Fi Iran. Azizan  Baharuddin.  2007.  Pendekatan  holistik agama  dan  sains:  Mekanisme  dan penghayatan penyelesaian alternatif. Dlm. Syed Muhammad Dawilah al-Edrus (pnyt.). Wacana Sejarah dan Falsafah Sains Pendekatan Holistik Sains dan Agama: Cabaran ketamadunan, hlm.7-34 Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Danial Zainal Abidin. 2011. Quran Saintifik. Selangor: PTS Millenia Sdn. Bhd. Darwis Hude, Hasan Basri, Maftuchin Abbas & Muntaha Azhari. 2002. Cakrawala
Ilmu dalam al-Quran. Jakarta: Penerbit Pustaka Firdaus.

Mat  Rofa  Ismail.  2006.  Falsafah  Sains:  Pendekatan  Kualitatif.  Kuala  Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mat Rofa Ismail. 2012. Perluasan domain sains: Ke arah kajian sains yang mengasyikkan. Dlm. Azrina Sobrina (pnyt.). Membina Kekuatan Sains di Malaysia.  Kuala Lumpur. Institut Kefahaman Islam Malaysia.


Mohd Faisal, Zawawi Ismail & Rahimi Mohd Saad. 2010. Al-Quran awareness: Reality and challenges in islamic eduacation in schools. Journal for Islamic Educational Studies 1(1):133-144.
Mohd Syamil Mohd Yusoff. 2010. Hebatnya Al-Quran Jika Kamu Berfikir. Kuala Lumpur : Must Read Sdn.Bhd.
Mohd Yusof Othman. 2009. Sains, Masyarakat dan Agama. Kuala Lumpur: Utusan Publications& Distributor Sdn Bhd.
Mohd Yusof Othman. 2011. Pengintegrasian ilmu berasaskan al-Qur`an dalam menjana generasi al-Qur`an. Kertas Kerja Konvensyen Sekolah-Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2. Jabatan Agama Islam Selangor, Selangor.
Mohd Yusof Othman. 2013. Penghayatan sains dan a-Quran. Kertas Kerja Seminar al-Quran Siri 1 2013. Anjuran Pusat Pengajian al-Quran Tun Abdul Rahman Yakub (PATARY). Petra Jaya, Kuching Sarawak .
Mohd Yusof Othman. 2013. Sains dalam Maqasid al-Quran. Bangi: Perpustakaan Tun Seri Lanang.
Muhammad  Shahid  Talib.  2014.  Tiada  Lagi  Keraguan  Sains  dalam  al-Quran.
Selangor: Pustaka Ilmuwan.
Noor Hisham Nawi. 2008. Pembinaan garis panduan bagi pembentukkan kurikulum teras Fardhu Ain di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Tesis Dr. Fal. Universiti Kebangsaan  Malaysia.
Osman Bakar. 2008. Tauhid dan sains. Indonesia: Pustaka Hidayah.
Ramli Awang. 2005. Akidah: Penghayatan Tauhid Al-Quran. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Ratna Roshida Ab Razak. 2010. Menjambatankan Sains dan Islam : Satu Keperluan Kritikal dalam Pembentukkan Tamadun Malaysia dalam Islam dan Sains dalam Pembangunan Tamadun. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islam Malaysia.
Salleh Ismail. 2010. Mukjizat Al-Quran dan Fakta-fakta Saintifik. Selangor: Al- Hidayah Publication.
Sulaiman Nordin. 2013. Sejarah Pemikiran 2. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Yahaya Jusoh & Azhar Muhammad.2010. Kesepaduan falsafah sains al-Qur‟an dalam kurikulum sekolah rendah sebagai asas pembentukan masyarakat hadhari di Malaysia. Jurnal Hadhari 3: 23-41.
Yazid Abdul Manap. 2011. Meneroka Kegemilangan Saintis Islam. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
al-Zandani, Abdul Majid Aziz. 1992. Tauhid Pendekatan Saintifik. Jil. 3. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Zawawi Ahmad.1996. Sains dalam Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ziauddin Sardar. 1989. Explorations In Islamic Science. London & New York: Mansell Publishing Limited.















View publication stats

No comments:

Post a Comment

 
back to top