Wednesday, May 15, 2019

KEISTIMEWAAN MUKJIZAT AL-QURAN

No comments:
KEISTIMEWAAN MUKJIZAT AL-QURAN YANG RELEVAN UNTUK DIGUNAPAKAI PADA SETIAP ZAMAN


Penyelidikan ini berkenaan dengan keistimewaan mukjizat Al-Quran yang masih relevan untuk digunapakai pada zaman-berzaman. Kajian ini juga ingin membuktikan bahawa Al-Quran bukanlah sumber lapuk yang hanya digunapakai pada zaman Rasulullah SAW bahkan ia adalah sumber lengkap yang patut diterapkan di dalam kehidupan dan undang-undang antara manusia. 

Secara faktanya, segelintir umat Islam telah mempertikaikan kandungan Al-Quran yang dianggap sudah tidak sesuai untuk memberi impak di dalam kehidupan manusia generasi alaf baru. Perkara ini amat ditakuti kerana dapat mempengaruhi minda umat Islam yang masih tidak teguh dengan keimanan kepada Allah dan muallaf yang masih mempelajari ilmu agama Islam. 

Perkara ini juga  dapat dilihat jelas dengan penentuan hukuman dan keputusan mahkamah syariah  yang mementingkan undang-undang sivil berbanding hukum-hakam syariah yang bersumberkan Al-Quran. 

Oleh itu, penyelidikan ini akan cuba menghuraikan dakwaan-dakwaan buruk berkenaan Al-Quran sekaligus mendatangkan kaedah penyelesaian yang bersumberkan dalil naqli, teori sains dan hujah bagi menyangkal dakwaan-dakwaan tersebut.

Dari sudut agama Islam, kedudukan Al-Quran adalah sumber agama Islam sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kerana ianya telah termaktub di dalam hadis Rasulullah SAW “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara perkara yang tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnahku”. Hadis ini jelas menunjukkan bahawasanya Al-Quran adalah sumber yang pertama kerana perkataan Kitab Allah merupakan perkataan pertama sebelum sunnah. Kepentingannya tidak dapat disangkalkan lagi dengan sebutan "كتاب" sebanyak 230 patah perkataan di dalam Al-Quran dan menjadikan perkataan itu diantara yang terbanyak dari perkataan lain.[1]

Pertama kita akan membincangkan berkenaan dengan pengenalan definisi Al-Quran dan Mukjizat supaya pembaca dapat mengenali Al-Quran dengan lebih faham dan jelas. Penulis mendatangkan bukti dan dalil naqli bagi menyokong pengenalan tajuk kajian akan kehebatan mashaf suci Al-Quran dan seterusnya memperkenalkan pendapat-pendapat ulama berkenaan dengan Al-Quran .

Kedua kita akan membicarakan berkenaan dengan empat keistimewaan Al-Quran yang bersandarkan dalil-dalil naqli. Penulis akan menghuraikan perbezaan antara kitab samawi yang diturunkan kepada nabi-nabi sebelum Rasulullah SAW dan Al-Quran yang digunapakai sehingga kini. Al-Quran akan menjadi lambang (i) pelengkap kehidupan manusia (syamil), (ii) wahyu Allah yang terakhir kepada umat akhir zaman, (iii) kitab suci yang kekal sehingga ke hari kiamat dan (iv) istimewa dengan gaya bahasa yang mudah untuk semua manusia di setiap generasi. Seterusnya, kajian ini akan mengenal pasti empat dakwaan jahat yang berkaitan dengan Al-Quran dari pihak yang telah mempertikaikan keistimewaan Al-Quran itu sendiri. Antaranya ialah (i) orientalis barat menyatakan nabi Muhammad SAW tidak tahu akan pembukuan Al-Quran selepas kewafatan baginda (ii) Al-Quran adalah rekaan nabi Muhammad SAW yang digunakan untuk menyelesaikan masalah arab jahiliyah di zamannya (iii) orientalis barat juga mengatakan bahawa Al-Quran telah diubah oleh sahabat ra selepas kewafatan nabi Muhammad SAW (iv) Al-Quran digunakan untuk kepentingan ahli fuqaha’ bagi mencipta kaedah fiqh.

Ketiga kita akan memberi hujah untuk menyangkal dakwaan-dakwaan buruk ke atas kitab suci Al-Quran. Penulis akan senaraikan empat hujah diantaranya (i) bertujuan untuk tidak mencampuradukkan antara kata-kata nabi Muhammad SAW dan Al-Quran (ii) nabi Muhammad SAW adalah seorang yang buta huruf untuk mereka Al-Quran (iii) kronologi pembukuan mushaf Al-Quran mengikut turutan sahabat yang dipercayai (iv) ahli fuqaha’ merangka kaedah fiqh berdasarkan nas Al-Quran selagi tidak bertentangan syariat. Selain itu, empat perbezaan isi kandungan Al-Quran dan kitab-kitab suci agama lain juga dapat menyokong hujah-hujah bahawa mashaf Al-Quran adalah kitab suci yang benar dan agama Islam adalah agama yang lurus. Perkara ini akan meneguhkan lagi keimanan umat Islam serta meyakinkan orang kafir akan kebenaran agama Islam itu sendiri. Diantaranya (i) akidah trinity yang dibawa oleh kitab Bible (ii) perbezaan isi kandungan antara “new testament”, “old testament” dan Al-Quran (iii)

Keempat akan menyatakan empat isi kandungan Al-Quran yang menceritakan berkenaan dengan fenomena alam dari segi teori sains. Kejadian alam yang diceritakan Al-Quran antaranya ialah (i) pemisahan antara langit dan bumi (ii) kejadian lapisan atmosfera di langit (iii) alam semesta meluaskan molekul fizik tanpa terhenti dari semasa-semasa (iv) lautan dan sungai tidak bercampur antara satu sama lain. Bab ini akan diakhiri dengan empat langkah untuk memupuk rasa kecintaan kepada kitab suci Al-Quran di atas kebenaran yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW 1436 tahun dahulu serta dapat digunapakai di dalam kehidupan manusia sehingga kini. Diantaranya ialah (i) melihat kepada penciptaan manusia berdasarkan ayat Al-Quran (ii) melihat kepada misi Al-Quran selari dengan kitab samawi terdahulu (iii) melihat kepada kehendak dan janji Allah di dalam Al-Quran yang tidak pernah dimungkiri (iv) Al-Quran merupakan kitab yang tidak hilang sehingga ke hari kiamat.

Kita ini akan diakhiri dengan kesimpulan dengan menyatakan kembali penjelasan yang ringkas dan padat mengenai Al-Quran. Sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam bahawa Al-Quran adalah mashaf terakhir yang dijadikan panduan sehingga ke hari kiamat. Selain itu, penjelasan Al-Quran adalah relevan sehingga kini untuk digunakan oleh manusia adalah kunci utama bagi mengakhiri kajian ini.

1.0            DEFINISI AL-QURAN

كلام الله المعجز المنزل على رسوله محمد (ص) بالوحي المنقول إلينا بالتواتر[2]
Kalam Allah yang diturunkan ke atas nabi Muhammad SAW dengan wahyu yang dinaqalkan kepadanya secara beransur-ansur.

هو كتاب الله – عز وجل – المنزل على خاتم أنبيائه محمد (ص) بلفظه و معناه، المنقول بالتواتر المفيد للقطع واليقين المكتوب في المصاحف من أول سورة ((الفاتحة)) الى أخر سورة الناس[3]
Ia adalah kitab Allah – azzawajalla – yang diturunkan ke atas nabi terakhir Muhammad SAW dengan lafaz dan maknanya, dinaqalkan secara beransur-ansur yang memberi faedah bagi perkara tetap dan yakin. Ditulis di dalam mashaf yang dimulai surah ((Al-Fatihah)) hingga diakhiri surah An-Nas.

القرأن الكريم هو معجزة الإسلام الخالدة، أنزله الله على رسولنا محمد (ص) ليخرج الناس من الظلمات إلى النور، ويهديهم إلى الصراط المستقيم[4]
Al-Quran karim adalah mukjizat Islam yang berkekalan, diturunkan oleh Allah ke atas rasul kita Muhammad SAW untuk mengeluarkan manusia daripada kezaliman kepada cahaya, dan memberi hidayah kepada mereka ke jalan yang lurus.

PEMAHAMAN AL-QURAN SECARA LITERAL

Al-Quran merupakan satu risalah kalam (ayat) Allah yang diturunkan kepada nabi terakhir Muhammad SAW. Ia mempunyai 112 surah yang dimulai dengan surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan surah An-Nas. Al-Quran diturunkan kepada manusia dengan tujuan mengeluarkan manusia dari kesesatan dan kezaliman kepada kebenaran. Al-Quran juga merupakan mukjizat yang berkekalan hingga ke hari kiamat. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar diturunkan kepada Rasulullah SAW dan mengandungi prinsip-prinsip asas agama Islam dan ilmu pengetahuan untuk digunakan oleh manusia bagi membangunkan tamadun seperti akidah, syariah, akhlak, bahasa, pensejarahan, pemikiran dan intelektual, ekonomi, politik, social, budaya dan sebagainya.

Sebagai sumber utama Islam, Al-Quran menjadi pendorong dan penggalak kepada manusia untuk menggunakan fikiran dan segala sumber yang ada bagi mencapai kesejahteraan dan kejayaan dalam hidup. Ayat-ayat Al-Quran yang membawa maksud seperti “apakah mereka tidak berfikir” dan “apakah mereka tidak berakal” jelas merupakan pencetus kepada manusia untuk menggunakan akal fikiran dalam mengatur kehidupan. Namun demikian, segala kegiatan dan kemajuan yang dicipta dikehendaki mengikuti lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

DEFINISI MUKJIZAT

الأمر الخارق للعادة يجريه الله تعالى على يد مدعي النبوة تصديقا له في دعوه[5]
Di atas tangan pendakwah nubuwah (kenabian) yang benar dalam dakwahnya

DALIL NAQLI YANG BERKAITAN MUKJIZAT
ثم بعثنا من بعدهم موسى بأيتنا إلى فرعون وملائه فظلموا بها فانظر كيف كان عقبة المفسدين
Setelah mereka, kemudian kami utus Musa dengan membawa Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya, lalu mereka mengingkari bukti-bukti itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
            Dalil ini menunjukkan Nabi Musa AS telah diberi mukjizat untuk membuktikan kepada Firaun dan kaumnya bahawa Nabi Musa AS adalah utusan Allah. Sebagaimana contoh mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa AS dengan mengetuk tongkatnya dan bertukar menjadi ular yang besar dan menelan semua ular ahli sihir Firaun. Selain itu, Nabi Musa AS telah menyeberangi dan membelah laut merah dengan perintah Allah SWT bersama kaumnya. Firaun mengejar Nabi Musa AS dan kaumnya untuk dibunuh kerana mengingkari arahannya tetapi Allah telah menenggelamkan Firaun di dasar lautan merah.


PENDAPAT ULAMA AKAN KEMUKJIZATAN DAN KEISTIMEWAAN   AL-QURAN

PENDAPAT IMAM AL-BAQILANI

Imam Al-Baqilani pernah mengaskan bahawa:

“Jika mereka menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan ke dunia seperti kitab-kitab suci lain yang tersusun rapi pada setiap bab dan ilmu bagi setiap fasal. Ia pasti menjadi lebih sistematik dan terperinci. Jawapan Imam Al-Baqilani: Al-Quran diturunkan secara umum bagi setiap perkataan dan makna di dalam surah. Ayat Al-Quran yang umum telah meluaskan makna dengan banyak faedah. Jika setiap surah mempunyai tema tertentu, sudah tentu ruang faedahnya telah menjadi sempit dan jumud. Bahkan orang kafir tidak akan berminat dengan makna yang terperinci dan membawa satu makna bagi setiap surah.”[6]

PENDAPAT SYEIKH IBN ATIYYAH

Syeikh Ibn Atiyyah menyatakan bahawa:

“Tentangan yang kuat bagi Al-Quran adalah berkenaan dengan sistematik, kesahihan makna, dan kefasihan tatabahasa. Perkara ini terjadi kerana ilmu Allah telah meliputi segala sesuatu. Allah lebih mengetahui setiap perkataan yang sesuai dan makna bagi Al-Quran dari awal surah hingga akhir surah. ilmu manusia yang terbatas, kebodohan, lupa dan kelemahan bagi ilmu manusia telah menunjukkan kesempitan ilmu makhluknya. Orang Arab terdahulu hebat di dalam penggunaan perkataan dan tatabahasa. Walaubagaimanapun, mereka  tidak mampu menandingi ayat-ayat Al-Quran yang lengkap dan kehebatan bahasanya. Perkara ini telah menunjukkan bahawa manusia adalah lemah dan banyak melakukan kesalahan berbanding Allah yang mencipta segala-segalanya.”[7]

PENDAPAT AL-JAHIDZ

Al-Jahidz pernah mengatakan bahawa:

“Ada di antara mereka menggunakan perkataan bukan ada tempatnya. Sedangkan ada perkataan yang lebih tepat patut digunakan. Adakah kamu tidak tahu bahawa Allah tidak pernah dijumpai perkataan (الجوع) pada zat dirinya kecuali pada azab penyiksaan yang menimpa bagi orang-orang kafir. Perkataan itu mewakili makna kefakiran dan kelemahan mutlak. Selain itu, manusia telah meletakkan perkataan (السعب) bukan di tempatnya yang bermaksud keadaan aman dan kuat. Bukankah ini menyalahi perletakan tempat ayat Al-Quran yang tepat. Tambahan lagi, perkataan (المطر) yang bererti hujan. Al-Quran tidak akan menyebutkannya kecuali di tempat yang berunsurkan azab dan penyiksaan. Orang awam dan juga masyarakat berpendidikan tidak dapat membezakan penggunaan perkataan (الغيث) yang bermaksud hujan yang membawa rahmat dan buka hujan azab. Kemudian, Al-Quran menyebut (الأبصار) yang bermaksud penglihatan, ia disebut pendengaran dalam bentuk tunggal (السمع). Jika Al-Quran menyebut tujuh lapisan langit (سبع سماوات) ia disebut bumi dengan bentuk tunggal (الأرض). Adakah kamu tidak melihat perbezaan ini? Bahasa manusia telah menyalahi bahasa Al-Quran yang tidak diletakkan dengan makna dan perkataan yang tepat kecuali perkataan itu tepat mewakili makna yang sepatutnya dan tidak dapat diganti dengan perkataan lain.”[8]

PENJELASAN KEISTIMEWAAN MUKJIZAT AL-QURAN BERASASKAN DALIL NAQLI

Menurut Kamus Dewan Bahasa Keempat, mukjizat bermaksud kejadian luar biasa kurniaan Allah swt kepada para Nabi dan Rasul bagi membuktikan kebenaran mereka. Mukjizat berasal daripada kalimah Arab (عجز) yang bermaksud lemah, tanpa tenaga dan tidak mampu. Daripada (عجز) lahir kalimah (معجزة) yang bermaksud sesuatu yang luar biasa dan tidak mampu ditiru.

Di dalam At-Tibyan fi Ulum Al-Quran oleh Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni, mukjizat didefinisikan sebagai “Perkara luar biasa dan tidak mengikut hukum sebab musabab yang difahami. Ia dijadikan oleh Allah swt kepada para Rasul sebagi bukti tentang kebenaran merekea.”[9] Antara ciri-ciri keistimewaan kemukjizatan Al-Quran adalah:

Pertama, Al-Quran ialah Kitab yang tidak ada kesamaran dan keraguan baginya. Firman Allah swt: “Alif Lam Ra. (Inilah) Kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi kemudian dijelaskan secara terperinci, (yang diturunkan) dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana, Maha Teliti.”(Hud, ayat 1)

Kedua, Al-Quran adalah satu Kitab yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad bagi mencabar kekuatan dan pemikiran manusia yang lemah. Setiap makhluk tidak dapat menandingi kitab wahyu yang diturunkan dari pencipta azzawajalla. Firman Allah: “Dan jika kamu meragukan (Al-Quran) yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad), maka buatlah satu surah semisal dengannya dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Jika kamu tidak mampu membuatnya, dan (pasti) tidak akan mampu, maka takutlah kamu akan api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi rang-orang kafir.” (al-Baqarah, ayat 23-24)

Ketiga, al-Quran merupakan kitab suci yang mudah untuk difahami oleh manusia. Kebanyakan kitab suci agama lain memeningkan penganutnya dengan fakta dan teori yang bertelagah. Al-Quran pula diturunkan untuk penerangan mudah kepada manusia untuk kembali ke jalan yang benar. Firman Allah: “dan sungguh, telah kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mau mengambil pelajaran.” (al-Qamar, ayat 17).

Keempat, Al-Quran merangkumi aspek kemanusiaan dan kehidupan yang menjadi petunjuk kepada manusia berkenaan hak dan batil. Firman Allah: “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil).” (al-Baqarah, ayat 185)

Kelima, Al-Quran bertujuan untuk menyucikan jiwa manusia. Al-Quran melatih jiwa manusia suoaya dibersihkan dari terjerumus lembah kehinaan iaitu dosa kejahatan. Firman Allah: “Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikannya (jiwa itu) dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (al-Syams, ayat 7-10)

DAKWAAN JAHAT BERKENAAN AL-QURAN BESERTA HUJAH-HUJAHNYA

Ramai orientalis percaya bahawa Nabi Muhammad saw mengasaskan Al-Quran melalui percakapannya sendiri. Baginda tidak pernah terfikir bahawa Al-Quran akan dibukukan. Baginda tidak pernah menyuruh untuk menulis Al-Quran ataupun menyusunnya di dalam penulisan. Sebahagian daripada sahabat mereka susunan berdasarkan maklumat yang mereka dapat dari Nabi Muhammad saw. Al-Quran tidak ditulis dengan baik sehingga kewafatan baginda. Ketika kehidupan baginda, Al-Quran ditulis dengan tangan di atas pelepah tamar, batu, dan pelbagai benda yang wujud pada ketika itu. Pengumpulan Al-Quran selesai ketika zaman khalifah kedua Umar ra dan disahkan menjadi satu versi di zaman Uthman ra. Pendapat ini disepakati oleh majoriti orientalis barat.[10]

Jeffery berkata Uthman ra meninggalkan pelbagai bahagian Al-Quran ketika mengumpulkan mushaf itu. Beliau juga menambah beberapa tulisan untuk tujuan politik. Berdasarkan pendapat orientalis bahawa versi Al-Quran sekarang bukanlah versi pengumpulan dari Zayd ra. Al-Quran yang telah lama melalui pelbagai zaman, ayatnya telah berlaku kerosakan. Kita boleh mencari beberapa kesalahan yang dilakukan oleh penulis. Contohnya: James A. Bellamy di dalam bukunya memberi beberapa contoh hipotesis seperti: Hasab yang berlaku dalam 21:98 ada salah yang dilakukan oleh penulis. Berdasarkan kepada James, perkataan asal adalah Hatab.[11] Beliau juga menyebut perkataan Ummah, Abb, Sijjil, Hittah, Surhunna, Sabun minal-mathani, Tamanna, Illa amaniya, Sibghat Allah, Ashab al-aaraf adalah kesalahan yang dibuat oleh penulis.

HUJAH-HUJAH UNTUK MENYANGKAL DAKWAAN-DAKWAAN MUSUH ISLAM

Sebahagian daripada bukti sejarah, maklumat dari Umar ra meyatakan Al-Quran telah ditulis sebelum hijrah di Mekah.Maklumat lain menyatakan bahawa apabila penduduk Madinah datang untuk belajar agama Islam, mereka disediakan salinan surah daripada Al-Quran untuk dibaca dan belajar dengan sepenuh hati.  Kebanyakan ibadat haji baginda ketika terkumpulnya ramai Muslim, baginda bersabda: “Aku meninggalkan kamu dengan sesuatu yang perlu kamu pegang erat kepadanya, kamu tidak akan terjerumus ke dalam kesalahan - satu risalah petunjuk, buku berkenaan tuhan dan amalan rasulnya.”

Petunjuk ini menunjukkan kepada risalah bertulis. Jadi, hipotesis yang dibuat oleh orientalis bahawa Al-Quran tidak disimpan dalam bentuk penulisan selepas 50 tahun kewafatan baginda adalah tidak berasas. Tambahan lagi, orientalis William Muir memperakui bahawa Al-Quran telah ditulis dan dijaga rapi ketika kehidupan Baginda saw.

Baginda saw pernah bersabda “Panggil Zayd datang kepada aku dan minta dia bawa papan tulis, dakwat dan tulang. Kemudian baginda baginda sabda: tulis: la yastawi.” Ia dilaporkan bahawa risalah itu disimpan di dalam rumah baginda saw. Tujuannya adalah untuk tidak bercampur kata-katanya dan ayat Al-Quran. Baginda saw juga mengarahkan sahabatnya untuk tidak menulis melainkan Al-Quran sahaja dan sesiapa yang sudah menulis sesuatu, maka, padamkan ia.

Pada zaman Uthman ra, beliau telah memanggil Muhajirin dan Ansar untuk menasihati beliau. Semua daripada mereka bersetuju dan memberi galakan kepada Uthman ra supaya mengumpulkan pembacaan Al-Quran. Bukhari meriwayatkan akan: “Uthman ra menghantar pesanan kepada Hafsa dengan manuskrip Al-Quran, jadi, kami perlu menyatukan manuskrip Al-Quran di dalam bentuk sempurna dan mengembalikan kepada kamu. Hafsa menghantar manuskrip kepada Uthman ra. Kemudian, Uthman ra mengarahkan Zayd bin Thabit, Abdullah Ibn az-Zubayr, Said bin al Aa dan Abd Rahman bin Harith bin Hisham ra untuk menulis salinan manuskrip yang sempurna. Uthman ra berkata kepada orang Quraish, Jikalau kamu tidak bersetuju dengan Zayd bin Thabit dengan apa pun berkenaan Al-Quran, tulis ia di dalam dialek (lisan) Quraish sebagaimana disebut dengan lidah mereka. Mereka berbuat begitu dan mereka mempunyai banyak salinan. Uthman ra mengembalikan manuskrip asal kepada Hafsa ra dan setiap Negara Islam. Uthman ra menghantar satu salinan sahaja dan mengarahkan untuk membakar segala bahan dari manuskrip Al-Quran yang lain.

Ali ra melaporkan beliau perlu menghadapi orang-orang yang melawan Uthman dan memberitahu mereka bahawa Uthman ra membakar mushaf yang berbeza dari Al-Quran yang terakhir sebagaimana yang telah dipersetujui ramai. Secara fakta, majoriti Muslim mempersetujui akan tindakan Uthman ra (kecuali Ibn Mas’ud) kerana Uthman ra mengumpulkan dan menjadikan ke dalam satu mushaf, bersih daripada versi pemansuhan dan bebas dari pembacaan a’had (riwayat) ataupun unsur luar yang telah ditambah ke dalam ayat.

Kadang-kadang berlaku pemansuhan ayat Al-Quran sebelumnya dengan mendatangkan ayat yang baru. Orientalis berpendapat bahawa tuhan sedar akan kesalahannya dan berlakulah pemansuhan ayat. Kritikan ini bukanlah perkara baru di dalam dunia orientalis. Secara faktanya, pemansuhan ayat hanya dijumpai bagi pengikut kitab suci Muhammad saw sahaja tetapi pemansuhan itu mengikut sebagaimana arahan dan penyelarasan agama dari Nabi Muhammad saw secara selari dan tidak ada percanggahan. Pemansuhan berlaku berdasarkan peristiwa arab yang berlaku bagi memperbaiki kehidupan dan agama mereka. Walaupun begitu, tidak ada percanggahan yang berlaku di dalam Al-Quran sebagaimana yang terjadinya kepada Bible. Kita dapat mencari beberapa contoh percanggahan yang berlaku kepada Bible. Contohnya: di dalam agama Yaaqub, seorang lelaki boleh mempunyai dua saudara kandungnya sebaga isteri pada masa yang sama sebagaimana Liyyah dan Rahil tetapi perkara ini dilarang di dalam agama Musa. Kesimpulannya, Bible terbahagi kepada dua bahagian iaitu New Testaments dan Old Testaments yang bertelagah pandangan antara dua kitab Bible ini.[12]

PERBEZAAN ISI KANDUNGAN AL-QURAN DAN KITAB SUCI AGAMA LAIN

Setiap agama membawa ajaran masing-masing yang mungkin berbeza atau bertentangan antara satu sama lain. Walaubagaimanpun, apabila diselidik, masih terdapat beberapa persamaan dalam ciri-ciri asas antara agama-agama itu. Namun tidak dapat dinafikan, dalam setiap persamaan itu tersirat seribu perbezaan.

Kebanyakan agama mempunyai kitab suci yang dianggap sebagai sumber rujukan utama. Sebagai contoh, Al-Quran adalah kitab suci agama Islam. Manakala dalam agama Majusi atau Zarathustra pula, mereka mempunyai kitab Zand Avesta. Agama Hindu mempunyai kitab Veda dan agama Kristian mempunyai kitab Bible. Namun, masih terdapat banyak perbezaan malah percanggahan dalam pelbagai aspek berkaitan kitab-kitab suci itu. Antaranya dalam aspek asal-usul, ajaran, penyusunan, bahasa, isi kandungannya dan banyak lagi.

Kebanyakan kitab suci mempercayai kewujudan Tuhan. Mereka juga mempercayai Tuhan menciptakan alam ini. Dalam Islam, Tuhan dipanggil dengan nama Allah. Manakala bagi Kristian atau Nasrani, Tuhan dikenali dengan nama God. Manakala Tuhan agama Yahudi dipanggil dengan nama Yahweh. Brahman adalah Tuhan bagi agama Hindu. Tuhan dalam agama Majusi dipanggil Ahura Mazda. Agama Buddha pula tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Sebaliknya mereka mempercayai alam ini terjadi dengan sendirinya.[13]

Jika membicarakan kesemua kitab suci dari setiap agama, ia akan menjadi penulisan yang panjang dan rumit. Perbahasan ini akan diklasifikasikan antara dua agama sahaja iaitu kitab suci Al-Quran dan Bible.

1)     Perbezaan Dari Sudut Masa
Agama Kristian:         Berusia lebih dari 2000 tahun
Agama Islam:             Berusia lebih dari 1400 tahun

2)     Perbezaan Dari Sudut Pembawanya
Agama Kristian:         Dibawa Oleh Nabi Isa as (Jesus)
Agama Islam:             Dibawa Oleh Nabi Muhammad saw

3)     Perbezaan Dari Sudut Penerimaan

Agama Kristian:         Menolak agama Islam sekeras-kerasnya dan menganggap nabi Muhammad saw sebagai seorang syaitan.

Agama Islam:             Menerima nabi Isa (Jesus) adalah salah seorang daripada rasul. Umat Islam yang tidak mempercayai nabi Isa adalah rasul akan tertolak imannya.

4)     Perbezaan Dari Sudut Sumber

Agama Kristian:         Menggunakan kitab Bible yang terdiri dari Old Testament (Perjanjian Lama) dan New Testament (Perjanjian Baru).

Agama Islam:             Al-Quran.

5)     Perbezaan Dari Sudut Kandungan Sumber

Agama Kristian:         Old Testament (Perjanjian Lama) mengandungi firman Tuhan, sabda Jesus dan tulisan para sejarawan sedangkan New Testament (Perjanjian Baru) mengandungi firman Tuhan sahaja.

Agama Islam:             Al-Quran – Firman Allah semata-mata.
                                    Hadis – Sabda Nabi Muhammad saw.
                                    Tarikh – Tulisan para sejarawan.

6)     Perbezaan Dari Sudut Tujuan

Agama Kristian:         Bertujuan untuk menyelamatkan kaum Bani Israel sahaja.

Agama Islam:             Bertujuan untuk menyelamatkan seluruh umat manusia di atas muka bumi ini.

7)     Perbezaan Dari Sudut Akidah
Agama Kristian:         Konsep Triniti diterapkan kepada penganutnya dengan mempercayai tiga Tuhan dari Bapa, Anak dan Roh Kudus.

Agama Islam:             Menyembah Allah yang esa, tiada Tuhan Melainkan Allah.

8)     Perbezaan Dari Sudut Geografi

Agama Kristian:         Bermula di Baitul Laham (Bettlehem) dan berkembang di kawasan Eropah, Amerika dan Australia yang dikenali sebagai tanah jajahan barat.

Agama Islam:             Bermula di Mekah dan berkembang di tanah Arab, Afrika sehinggalah ke Asia.

9)     Perbezaan Dari Sudut Sejarah

Agama Kristian:         Setelah kewafatan nabi Isa (Jesus), pembawa agama Kristian menjadi ketakutan kerana ramai yang menolak agama ini. Kitab Bible tidak dihafaz dan berkemungkinan telah banyak diubah dari segi kandungannya.

Agama Islam:             Setelah kewafatan Nabi Muhammad saw, agama Islam telah tersebar luas secara terang-terangan. Ramai pembawanya menghafaz keseluruhan ayat Al-Quran.

10) Perbezaan Dari Sudut Penyebaran

Agama Kristian:         Tersebar melalui penjajahan dan kekerasan kepada penganut baru. Mereka membawa slogan Gospel, Gold, Glory dan menjajah Indian, Asia hinggalah ke China.

Agama Islam:             Tersebar melalui perdagangan, pendakwahan dan perkahwinan dengan orang tempatan di pelbagai Negara.

11) Perbezaan Dari Sudut Tempat Ibadah

Agama Kristian:         Beribadah di gereja walaupun nabi Isa beribadah di Sinagog (Rumah Ibadat Agama Yahudi).

Agama Islam:             Beribadah di masjid sebagaimana ditunjukkan oleh nabi Muhammad saw.

KAITAN KANDUNGAN AL-QURAN DAN FENOMENA ALAM DARI SEGI TEORI SAINS

LAPISAN ATMOSFERA


Al-Quran ada menyatakan bahawa langit mempunyai tujuh lapisan. Sebagaimana firman Allah:
هو الذي خلق لكم ما في الأرض جميعا ثم استوى إلى السماء فسوىهن سبع سموت وهو بكل شيء عليم
Dia-lah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian di menuju ke langit, lalu dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan dia maha mengetahui segala sesuatu. (Al-Quran, 2:29)


فقضىهن سبع سموات في يومين و أوحى في كل سماء أمرها وزينا السماء الدنيا بمصبيح وحفظا ذلك تقدير العزيز
Lalu diciptakan-Nya tujuh langit dalam dua masa dan pada setiap langit Dia mewahyukan urusan masing-masing. Kemudian langit yang dekat (dengan bumi), kami hiasi dengan bintang-bintang, dan (kami ciptakan itu) untuk memelihara. Demikianlah ketentuan (Allah) yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.


(Al Qur'an, 41:12)

Perkataan langit yang mempunyai tujuh lapisan banyak disebut di dalam Al-Quran. Ini menunjukkan langit terdiri dari tujuh peringkat di antara bumi dan atmosfera. Jika berdasarkan dari sudut sains, ahli pengkaji menemui lapisan atmosfera yang terendah di bumi adalah lapisan Troposfir yang menghasilkan hujan, salji dan seumpamanya. Perkara ini membuktikan bahawa Al-Quran telah menceritakan perkara atmosfera lebih dari 1400 tahun dahulu. Saintis abad ke-20 baru menemui lapisan atmosfera yang paling terendah, saintis masih ketinggalan 6 lapisan lagi sebagaimana yang diceritakan di dalam Al-Quran.[14]

FUNGSI BUKIT DAN GUNUNG


Al-Quran menyebutkan perkataan gunung dan fungsinya sebagaimana firman Allah:
وجعلنا في الأرض روسى أن تميد بهم وجعلنا فيها فجاجا سبلا لعلهم يهتدون


Dan kami telah menjadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh agar ia (tidak) goncang bersama mereka, dan kami jadikan (pula) di sana jalan-jalan yang luas agar mereka mendapat petunjuk.(Al-Quran, 21:31)

Ayat ini menceritakan bahawa gunung adalah pasak/tapak bagi mengelakkan bumi ini bergoncang. Kenyataan ini dapat dibuktikan selepas pengkajian ahli geologi yang menggunakan peralatan moden. Gunung-ganang terjadi adalah dari hasil geseran dan pelanggaran dua lapisan benteng tanah. Hasil pelanggaran ini mencetuskan satu lapisan tanah yang tinggi dan terjadinya gunung dan satu lagi lapisan tanah terjunam ke dalam tanah lalu menjadikan ia sebagai pasak/tapak bagi gunung. Kerak bumi ini menghalang dari berlakunya gempa bumi dan goncangan dari bawah dasar permukaan bumi.

LAUTAN YANG TIDAK BERCAMPUR ANTARA SATU SAMA LAIN

Firman Allah:
مرج البحرين يلتقيان بينهما برزخ لا يبغيان


Dia membiarkan dua laut mengalir yang (kemudian) keduanya bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.(Al-Quran, 55:19-20)

Lautan yang luas dan dikatakan 80% melebihi daripada daratan bertemu pada setiap sudut di bumi. Walaubagaimanapun ayat Al-Quran menyatakan lautan adalah terpisah antara satu sama lain. Hal ini dibuktikan oleh para saintis bahawa fizik dan molekul lautan adalah berbeza mengikut masa, jenis, bentuk permukaan yang mencegah lautan bercampur antara satu sama lain.[15]

KEGELAPAN DAN GELOMBANG DI DASAR LAUTAN

أو كظلمت في بحر لجي بغشىه موج من فوقه موج من فوقه سحاب ظلمت بعضها فوق بعض إذا أخرج يده لم يكديرىها ومن لم لم يجعل الله له نورا فما له من نور


Atau (keadaan orang-orang kafir) seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh gelombang demi gelombang, di atasnya ada (lagi) awan gelap. Itulah gelap gelita yang berlapis-lapis. Apabila dia mengeluarkan tangannya hampir tidak dapat melihatnya. Barang siapa tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, maka dia tidak mempunyai cahaya sedikit pun. (Al-Quran 24:20)

Elder Danny dan John Pernetta ada menyatakan bahawa jarak pencahayaan bagi kedalaman lautan yang mencapai 200 meter atau lebih. Pengkajian mereka membuktikan bahawa cahaya tidak dapat menembusi pada kedalaman 1000 meter dan ke bawah.[16] Majoriti ahli saintis mengakui dasar lautan mempunyai gelombang yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera manusia. Kenyataan ini membuktikan ayat Al-Quran telah menceritakan berkenaan dengan gelombang dasar lautan sejak sekian lama.

PEMBENTUKAN HUJAN

Terjadinya proses pembentukan hujan adalah melalui kondensasi awan dan air lalu menjadi awan yang sarat dengan air. Awan yang sarat ini diturunkan hujan di tempat-tempat yang tertentu. Peringkat pembentukan air hujan melalui pelbagai proses sebagaimana telah diceritakan oleh Al-Quran:
الله الذي يرسل الريح فتثير سحابا فيبسطه في السماء كيف يشاء ويجعله كسفا فترى الودق يخرج من خلله فإذا أصاب به من يشاء من عباده إذا هم يستبشرون
“Dialah Allah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakinya dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu kamu lihat air hujan keluar dari celah-celahnya. Maka, apabila hujan itu turun mengenai hamba-hambanya yang dikehendakinya, tiba-tiba mereka menjadi gembira”(Al-Quran 30:48).
Walaubagaimanapun, ramalan cuaca masih lagi menjadi misteri kepada ahli meteorologi kerana ia tidak semestinya berlaku berdasarkan ramalan manusia. Manusia masih tidak dapat mengkaji secara terperinci dengan mengikut kehendak Allah. Setiap alat yang dicipta bagi mengkaji fenomena alam masih tidak dapat menandingi kuasa Allah. Tambahan pula, Allah telah menceritakan berkenaan denga pembentukan hujan sejak 1400 tahun dahulu lagi.

4.1       LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMUPUK KECINTAAN KEPADA AL-QURAN
Al-Quran merupakan satu-satunya kitab suci bagi agama Islam. Majoriti ahli falsafah, saintis dan bahasa masih mengkaji kitab ini sehingga ke hari ini. Perkara ini membuktikan bahawa Al-Quran bukanlah satu kitab yang perlu disia-siakan kepada orang kafir. Sebagai umat Islam, kita mesti mengetahui isi kandungan Al-Quran yang ingin disampaikan kepada kita. Langkah-langkah untuk memupuk kecintaan umat Islam kepada Al-Quran di antaranya:
Mengetahui tujuan pembacaan Al-Quran bagi setiap umat Islam. Allah tidak menjanjikan keburukan bagi orang yang membaca Al-Quran sebaliknya menambah kebaikan dari setiap sudut pahala bagi pembacaan Al-Quran.  Sebagaimana nabi Muhammad saw menyarankan kepada kita bahawa setiap kalimah Al-Quran dapat memberi 10 pahala kepada pembacanya. Pahala ini diberikan kepada pembaca yang tidak mengetahui maksud sebenar ayat Al-Quran itu. Bagaimana dengan pembaca yang mengetahui maksud ? tambahan pula dengan pembaca yang mengetahui fadhilat amal bagi setiap ayat Al-Quran. Ini menunjukkan Allah bersifat dengan pemurah lagi maha terkaya. Firman Allah:
يأيها الناس أنتم الفقراء إلى الله و الله هو الغني الحميد
“Wahai manusia, kamu semua adalah faqir (miskin) kepada Allah, dan Allah adalah Maha Terkaya dan Sejahtera”(Al-Quran 35:15)
            Menghafaz Al-Quran adalah salah satu cara untuk menimbulkan kesan kecintaan Al-Quran kepada pembacanya. Ia dapat memudahkan pembaca dengan mendekati Al-Quran setiap hari. Selain itu, pembaca dapat mengkaji Al-Quran dengan lebih efektif apabila hafalan di dalam dada. Pembaca dapat dijadikan sebagai rujukan keluarga dan masyarakat berkenaan dengan Al-Quran. Secara tidak lansung, Al-Quran adalah sebagai peneman pembaca setiap hari. Allah pernah menjanjikan orang yang meninggal akan ditinggalkan tiga perkara, salah satunya adalah amalan amal soleh seperti membaca Al-Quran. Hadis nabi Muhammad saw pernah menyatakan Al-Quran adalah peneman di dalam kubur. Allah boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya bagi orang yang ingin menegakkan agamanya. Sepeti firman Allah:
إن ربك فعال لما يريد
“Sesungguhnya Allah akan melakukan apa yang dia mahu.”
Mengambil pengajaran dan iktibar dari ayat-ayat Al-Quran itu sendiri untuk dijadikan sebagai pedoman hidup. Ramai orang kafir mengkaji Al-Quran dari sudut sains, falsafah, sejarah, bahasa dan sebagainya. Mereka menggunakan untuk tujuan keduniaan dengan membangunkan kemajuan yang mereka perlu kecapi. Kita sebagai umat Islam perlu mengambil pengajaran dari semua sudut ukhrawi dan duniawi. Dengan amalan ini, ia akan melahirkan umat Islam yang berkualiti dan berjaya dari setiap sudut. Pengkajian Al-Quran tidak pernah tamat sehingga ke hari kiamat kerana ia adalah satu-satunya sumber maklumat dan panduan bagi umat Islam dan manusia seluruhnya. Allah telah menetapkan Al-Quran sebagai kitab yang teragung bagi meneladani akhlak dan ilmu manusia.


KESIMPULAN
Al-Quran sememangnya adalah sebuah Kitab yang agung lagi luar biasa. Berkata Imam Ibnu Kathir dalam Tafsir Al-Quran: “Sekiranya sebuah gunung yang tuli diberikan kemampuan bagi mendengar serta memahami keterangan Allah swt, nescaya ia akan takut kepadanya. Lantas, bagaimana pula dengan kamu yang mampu mendengar serta memahami?”
Kita perlu merindui wahyu Allah swt. Ia adalah petunjuk yang lengkap. Petunjuk dalam Al-Quran boleh diumpamakan seperti satu peta lengkap bagi manusia. Dengan bantuannya, manusia akan sentiasa berada di atas landasan yang betul. Dengan itu, mereka akan cemerlang serta Berjaya di dunia dan juga di akhirat.
Gai Eaton menyatakan di dalam bukunya Islam and the Destiny of Man “Al-Quran bukan sebuah buku falsafah tetapi dalamnya terdapat sumber berkaitan ilmu falsafah. Al-Quran juga bukan sebuah buku psikologi, namun dalamnya terdapat kunci tentang ilmu psikologi.”
Kesucian Al-Quran sememangnya terpelihara. Hakikat ini disahkan oleh pengkaji-pengkaji barat. John Burton mengatakan di dalam bukunya The Collection of the Quran. Beliau merumuskan “…the text which has come down to us in the form in which it was organized and approved b the Prophet..What we have today in our hands in the mushaf of Muhammad.” Maksudnya, “Teks Al-Quran yang ada pada hari ini adalah dalam bentuk yang telah disusun dan diiktiraf oleh nabi. Apa yang ada di tangan kita adalah sebuah mushaf dari (zaman) Muhammad.”
            Mustahil terdapat pertentangan antara agama Islam antara pihak sains dan falsafah. Sains dan falsafah ialah usaha manusia yang menggunakan akal fikiran manusia untuk memahami susunan alam, pembahagian alam dan hukum alam.
            Al-Quran lebih banyak dapat dihayati  oleh manusia yang mempunyai pengetahuan luas dan dalam. Bagi ahli sains, Al-Quran merupakan buku tentang alam. Sedangkan bagi ahli sains social dan budaya memikirkan Al-Quran adalah buku tentang manusia. Bagi ahli teologi, Al-Quran merupakan buku tentang Tuhan dan Ketuhanan. Bagi ahli falsafah, Al-Quran merupakan buku mengenai pelbagai masalah asasi yang menjadi bahan perbincangan falsafah dari semasa ke semasa. Al-Quran memberikan dorongan bagi membina diri dan tujuan kepada sains dan falsafah.
BIBLIOGRAFI
1)     Al-Quran dan Terjemahan.
2)     Bible dan Terjemahan (Genesis 29:23-30).
3)     Dr Danial Zainal Abidin.(2013).The Power of Al-Quran.Selangor.PTS Millennia Sdn Bhd.
4)     Dr Hafsa Nasreen.(2008).Orientalist on Qur’an: A Critical Study.Lahore:University of the Punjab.
5)     James A-Bellamy.(1999).Some Proposed Emendations to the Text of The Koran.New York.
6)     Mohd Rosmizi Abd Rahman.(2005).PANDUAN MEMILIH AGAMA.Selangor:PTS Millennia Sdn Bhd.
7)     Wenny Wulandary, et al.(2012).Mengkaji Keilmiahan Ayat-Ayat Sains Dalam Al-Quran Terhadap Ilmu Pengetahuan Modern: Makalah.Yogyakarta: Universitas Ahmad Dahlan
8)     Davis, Richard A Jr.(1972).Principles of Oceanography.s 92-93.Addison: Wesley Publishing
9)       Elder Danny & John Pernetta.(1991).Ocean.s 27.London: Mitchell Beazley
المصادر والمراجع
1) محمد فؤاد عبد الباقي.(2009 / 1430 ه).المعجم المفهرس لألفاظ القرأن الكريم.بيروت- لبنان.دار المعرفة.
2) قلعرجي، محمد رواس و قنيبي، حامد صادق.(1988 / 1408 ھ).معجم لغة الفقهاء.بيروت – لبنان.دار النفائس.
3) محمد محمد أبو شهبة.(1987 / 1407 ھ).المدخل لدراسة القرأن الكريم.المملكة العربية السعودية – الرياض.دار اللواء.
4) مناع القطان.(2000).مباحث في علوم القرأن.القاهرة – تليفون.مكتبة وهبة.
5) المالك ، سيد محمد.(1989).بيان الإجاز القرأن الكريم.المملكة العربية السعودية – الرياض.دار اللواء.
6)  الأندلسي ، ابن عتية عبد الحق بن غالب.(2001).المهارات الوجيز في التفسير الكتاب العزيز.بيروت.دار الكتب العلمية.
7) عبد السلام محمد هارون.(1998).الجاحز-  البيان وتبيين.قهيرة.مكتبة الخنجي.









 محمد فؤاد عبد الباقي.(2009 / 1430 ه).المعجم المفهرس لألفاظ القرأن الكريم.بيروت- لبنان.دار المعرفة.[1]
 قلعرجي، محمد رواس و قنيبي، حامد صادق.(1988 / 1408 ھ).معجم لغة الفقهاء.بيروت – لبنان.دار النفائس[2]
 محمد محمد أبو شهبة.(1987 / 1407 ھ).المدخل لدراسة القرأن الكريم.المملكة العربية السعودية – الرياض.دار اللواء[3]
 مناع القطان.(2000).مباحث في علوم القرأن.القاهرة – تليفون.مكتبة وهبة[4]
 قلعرجي، محمد رواس و قنيبي، حامد صادق.(1988 / 1408 ھ).معجم لغة الفقهاء.بيروت – لبنان.دار النفائس [5]
 المالك ، سيد محمد.(1989).بيان الإجاز القرأن الكريم.المملكة العربية السعودية – الرياض.دار اللواء [6]
 الأندلسي ، ابن عتية عبد الحق بن غالب.(2001).المهارات الوجيز في التفسير الكتاب العزيز.بيروت.دار الكتب العلمية[7]
 عبد السلام محمد هارون.(1998).الجاحز-  البيان وتبيين.قهيرة.مكتبة الخنجي[8]
[9] Dr Danial Zainal Abidin.(2013).The Power of Al-Quran.Selangor.PTS Millennia Sdn Bhd
[10] Dr Hafsa Nasreen.(2008).Orientalist on Qur’an: A Critical Study.Lahore:University of the Punjab
[11] James A-Bellamy.(1999).Some Proposed Emendations to the Text of The Koran.New York
[12] Genesis.29:23-30
[13] Mohd Rosmizi Abd Rahman.(2005).PANDUAN MEMILIH AGAMA.Selangor:PTS Millennia Sdn Bhd
[14] Wenny Wulandary, et al.(2012).Mengkaji Keilmiahan Ayat-Ayat Sains Dalam Al-Quran Terhadap Ilmu Pengetahuan Modern: Makalah.Yogyakarta: Universitas Ahmad Dahlan
[15] Davis, Richard A Jr.(1972).Principles of Oceanography.s 92-93.Addison: Wesley Publishing
[16] Elder Danny & John Pernetta.(1991).Ocean.s 27.London: Mitchell Beazley

No comments:

Post a Comment

 
back to top